Dalam-dalam
Beberapa ketika yang baru meninggalkan, aku sibuk menahan rindu yang tak kesampaian tanpa alasan yang meyakinkan. Hari-hari yang pergi bagaikan pergerakan arus mengalir yang tidak dapat ditebat. Jadi aku cuma mampu tenggelam bersama; sekali-sekala mendongak angkat kepala cuba melihat kejauhan kalau-kalau wujud bahagia di depan sana. Malam-malamku dipenuhi dengan hati dan minda yang sarat. Melelapkan mata di malam hari bagaikan suatu aktiviti yang paling sukar, diikuti dengan ritual bangun pagi. Sukar. Melihat sekeliling, aku percaya aku perlukan penguat yang kukuh untuk berpegang lama sepanjang menapak kehidupan yang ini. Keadaan sebegini sedikit sebanyak memakan isi dalam aku yang sekian lama sudah mula terhakis sendiri; sedikit demi sedikit. Gambar-gambar ibu dan ayah yang tergantung di dinding aku pandang lama. Mereka, dan manusia-manusia lain yang memainkan peranan utama dalam membentuk aku yang sekarang bukanlah semuanya sedang dalam keadaan paling sempurna seperti yang diimpi. Masing-masing masih punya beban yang perlu mereka pikul dalam menjalani hari. Masing-masing punya masalah sendiri. Sekali-sekala aku yang sendiri ini gigil cuba menggenggam situasi-situasi yang menggoyahkan. Empunya rusuk yang Tuhan janjikan belum memberi imbasan hati untuk aku lihat mudah. Sembunyi-sembunyi seperti ini dalam tempoh yang ini sebetulnya aku tak tipu -- memang menyesakkan dada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Nama blog simple , "pisang".
Tapi post sungguh dalam. Aku juga fikirkan beban abah mama aku. Dan terfikir sama ada aku juga termasuk dalam beban mereka.
Juno
(: thanks. Asyik fikir diri kita, sekali sekala kena fikir mak ayah juga kan. Jaga diri!
Post a Comment