Hari ini 29 Rabiulawwal 1433H, aku ambil tindakan untuk berpuasa.
Sebenarnya hari sebelum, 28 Rabiulawwal 1433H aku telahpun mengambil tindakan yang sama untuk berpuasa sepanjang siang ke azan Maghrib. Akan tetapi aku tak punya kekuatan yang cukup untuk menyusun ayat memberitahu makcik-makcik (yang setiap hari dari mula aku menjadi pelatih disini menyuap perut aku dengan bekal makanan mereka) bahawasanya aku berpuasa, dan tak dapat bersama membaham makanan.
Dari hari pertama ke hari ini yang sudah terkumpul hampir dua bulan, sekali saja aku bawa nasi bungkus ke sini kerana ayah awal-awal pagi sudah ke pasar membelikan aku nasi untuk makan pagi. Beliau lupa aku bekerja sebenarnya pagi itu. Jadi hari sebelum, aku berbuka puasa pada jam 1047am dengan nasi lemak separuh sebagai pembuka, dua jenis bihun goreng, kuetiaw goreng dan nasi goreng. Kenyang yang mensyukurkan.
Dalam bersama mereka, kadangnya aku bersemangat sungguh untuk membancuh air teh O panas. Sejak dua tiga kali bancuhan aku tidak mencapai gred manis yang diluluskan, aku tarik diri. Kah kah.
Apa yang menjadikan situasi ini menggelikan hati ialah kerana aku selaku orang muda- anak dara memilih untuk minum dalam kadar gula yang tersangat rendah. Manakala mereka yang sudah berumur- punya penyakit dan berpotensi untuk berpenyakit bahaya paras major memilih untuk minum dalam kadar gula yang pada mereka sederhana, tapi manis pada aku.
Untuk pengetahuan umum, aku punya lidah yang cerewet dalam merasa. Dalam kalangan adik-beradik, aku diiktiraf pembancuh air yang handal, kedua selepas abang. Terutamanya nescafe susu kaw. Kalau kau suka nescafe, jemputlah ke rumah dan tunggu mood baik aku datang untuk menjamu. Tahun lepas, aku sudah lulus dalam membancuh teh susu, nipis kata kakak aku. Tak senipis yang disebut pun sebenarnya.
Sebenarnya, jika minuman tanpa bancuhan susu pekat, lidah aku tak boleh menerima manis gula yang bagi aku, melebih-lebih rasanya. Padahal bila membancuh dengan susu pekat, bersudu-sudu melimpah pun aku tak kisah mana. Asalkan hasil bancuhan itu, superb.
Sebenarnya aku ini, yang pernah bertahun dulu ketagih sangat nak telan pcm hari-hari walaupun tak ada sakit demam, dah malas sangat nak telan ubat bila cuma sakit ringan-ringan. Bagi aku, teh O merupakan salah satu sumber untuk aku bertenang bila terkena selsema, batuk mahupun tindakbalas alergi. Selebihnya, air suam. Ulang-alik kencing berkali-kali ke tandas pun apa yang susahnya, kencing sajalah. Jadi, sejug sederhana teh O aku mampu habiskan dengan sangat mudah. Hal ini membuatkan aku tak mampu nak meletakkan gula yang banyak ke dalamnya, sekadar sesudu besar saja. Cukuplah untuk tidak merasa pahit.
Dan oh, aku ketagih kafein. Se-mug nescafe O bagaikan pelincir untuk aku melaksanakan tugas bila lidah terasa kelat, paling kurang sehari sekali dengan bancuhan separuh sudu teh gula, separuh sudu teh nescafe. Sedap. Sedap tak boleh nak cakap.
Serius aku dah letakkan bersudu-sudu gula setiap kali membancuh untuk kalian. Sampai aku risau akan terlebih manis atau apa. Musykil juga aku bila minum, eh macam air kesukaan aku kat rumah pula. Jadi banyak mana sebenarnya gula yang perlu untuk mencapai paras manis kalian? Risau juga aku. (telan liur, geleng-geleng kepala)
Bukannya aku tak pandai bancuh air, makcik-makcik sekalian. Itu saja point aku kali ini. Ha ha ha. Dan oh ye, tindakan aku berpuasa hari ni memang menarik perhatian makcik-makcik juga sebenarnya. Semua buat muka takjub puasa sunat hari Selasa.
Aku sebenarnya sedang memberi peluang kepada perut untuk berehat. Kuat sangat bekerja sejak bermastautin di kampung halaman ni. Makanan meriah sangat.
No comments:
Post a Comment