Bunyi mesin fotostat yang gigih bekerja, berjarak beberapa meter dari aku mendominasi suasana pejabat. Bergilir dengan pekik cerita para pakcik dan makcik yang sibuk berbincang ketidakpuasan hati masing-masing tentang perihal duniawi. Hal kerja dan kontrak yang bertangguh dek masalah yang tak mampu dikekang. Hari ini aku berseorangan dalam kubikel yang ini. Makcik yang selalu duduk bersama aku cuti sakit agaknya, dek emosi yang sangat terganggu pada hari sebelumnya. Perihal kerja juga.
Terus kepada cerita yang aku ingin bawakan.
Hari sebelum, warga pejabat diberi gred prestasi masing-masing. Contohnya ada a1, a2, b3 dan b4. Ianya dalam bentuk angka, seperti markah peperiksaan kamu di sekolah atau institusi pendidikan masing-masing. Ada dua, tiga manusia yang mendapat markah tinggi dan mencapai gred a1. Ada yang membuat bunyi dengan gred a2. Ada gred b3 dan b4. Masih mengikuti cerita aku?
Tolak ke tepi gred a1 dan a2. Walaupun ada antara mereka yang bersungut sedikit kerana sebelum ini, angka yang didapati lebih tinggi dari yang didapati hari sebelum. Gred b3 dan b4 terdiri dari manusia yang kiranya sungguh jujur dalam melaksanakan kerjanya. Dari segi agamanya, bagus. Terpampang jelas di wajah mereka, air muka yang baik. Apabila diberi gred yang tidak seumpama dengan kerja-kerja yang telah mereka lakukan, sudah tentulah ada rasa kurang baik dan tidak puas hati. Resah, gelisah cuba mencari apa punca sebenar.
Situasi satu, pakcik ini punya anak buah. Anak buahnya ditugaskan membuat kerja susulan selepas dia lakukan kerja. Anak buahnya mendapat gred lebih tinggi dari beliau. Anak buahnya pekerja yang baru masuk kerja. Manakala beliau orang lama yang akan pencen sedikit masa lagi. Jika beliau tidak melakukan kerjanya dengan baik, masakan anak buahnya mampu melakukan kerjanya dengan baik? Dan cuba kamu bayangkan perasaan seorang tua yang sudah tentu hatinya begitu sensitif, diberi gred prestasi sebegitu. Luluh. Dan air muka wajah mereka yang elok, terpampang kegelisahan dan sedikit marah yang dipendam sepanjang hari.
Ingat lagi nyanyian Raihan yang berjudul Iman Mutiara? Itu lagu nasyid pertama yang aku hafal bersungguh-sungguh zaman hingus masih meleleh bertahun-tahun lalu. ’Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa’.
Dalam proses agama kita, kita adalah individu yang masing-masing menghadap Tuhan dengan santun perilaku, ibadah masing-masing. Dan Tuhan itu, Maha Adil. Dalam konteks kerja yang aku sebutkan dalam situasi sebentar tadi, jelas bukan yang gred prestasi itu seperti senget terbelah-belah. Pakcik itu, paling kurang pun harus diberi gred yang sama dengan anak buahnya. Ini bukan tentang Iman yang diwarisi. Kalau tentang Iman yang diwarisi, setentunya gred untuk pakcik itu lebih tinggi. Ini contoh, bukannya aku mampu dan punya kebolehan menerobos jiwa mengukur Imannya pun.
Dan ya. Aku yakin sangat makcik yang sekubikel dengan aku ini sebenarnya bukanlah tak sihat tubuh atau apa. Lebih kepada sakit hati. Sedih. Lalu tak bersemangat nak menghadap hari ini.
Hari Pembalasan kelak, agak-agak kau sempat bersungut tak kalau-kalau berasa tak puas hati dengan gred pemberian Tuhan yang Maha Adil? Bayangkan juga kalau-kalau Dia memberitahu keputusan gred itu lebih awal kepada kau. Contohnya waktu sekarang, diberinya gred d7. Apa perasaan kau?
Selaku manusia yang sememangnya manusia, apa hukum yang jatuh kepada si pemberi gred prestasi warga pejabat aku tadi? Yakni bos mereka masing-masing. Kesalahan yang mungkin adalah satu, salah memberi gred prestasi sedangkan pencapaian mereka cemerlang. Yang mana berhubung dengan kesalahan kedua, menyakiti hati beberapa manusia yang salah digredkan.
Kadang-kadang seorang bapa atau ibu juga membuat kesalahan. Menyakiti hati anak/anak-anak masing-masing. Kadang-kadang seorang guru melukakan hati anak-anak muridnya. Seorang penguasa mengguris hati anak-anak buahnya. Ada berapa kerat sangat antara pesalah yang lebih ’superior’ ini sedar dan mengambil tindakan memohon maaf? Ada berapa sangat yang sedar dan tak endah tentang rasa malu untuk memohon maaf dengan orang bawahan? Yang tak sedar-sedar? Yang sedar tetapi buat-buat tak tahu? Juga dalam konteks berkawan. Sedar tak kita?
Oke sebenarnya aku dah agak melalut di sini. Kurang penguasaan untuk fokus belakangan ini. Cerita ini sepatutnya pendek saja. Kurang-kurang seorang dua dapat faham apa yang aku ingin sampaikan pun dah cukup.
Dah cukup sangat. Kerana awal tadi aku sebenarnya mahu bercerita tentang aku yang kebosanan saja.
But thanks to makcik yang tak datang kerja hari ni, aku tarik kabel sambungan ke pc beliau ke laptop peribadi aku. Tak. Aku bukan makan angin di tempat kerja pun ni. Semua warga pejabat sibuk dengan hal masing-masing. Jika diminta pertolongan, maka tampillah aku. Ya, setulus itu.
No comments:
Post a Comment