Menyakiti hati manusia lain, adalah suatu benda yang payah untuk dilaksana melainkan dah semulajadi begitu, atau dirasuk menjadi kurang waras.
Jadi bila manusia yang anggap aku dekat dalam hidup mereka, sedih dengan kebingungan aku tetapi bertindak menghukum aku dengan menyakiti hati aku, aku mati. Aku mati berkali-kali. Aku jatuh terguling, terhantuk, tersembam lama. Pejam, celik dan mati lagi.
Episod itu sebenarnya aku sudah ikrar untuk padamkan bila kau ucap maaf pagi itu. Dan sepanjang hari tersebut, aku menikmatinya dengan perasaan puas dan bersyukur. Walaupun ucap itu begitu pendek dan ringkas, aku tahu benar payah untuk seorang kau tuturkannya begitu.
Jadi kalau-kalau kau baca ini, aku dah lama maafkan kau. Sebagaimana aku harap kau halalkan aku yang kecelaruan dalam episod-episod ke belakang. Yang setiapnya telah aku selitkan berjela maaf. Cumanya yang tinggal bebekas ialah perasaan sedih. Sedih bila dilayan dilaku begitu.
Maaf kerana buat kau fikir aku ini kawan yang sempurna. Bila timbul satu cela itu kena pada kau, kau tak mampu hadap aku yang begitu. Salah aku juga. Salah aku bila terlalu lama cuba menjaga hati kau. Salah aku bila memilih untuk menjadi tempat kau mengadu selama ini dengan tenang.
Salah aku lebih bila mengharap kau faham keadaan aku yang kacau waktu itu. Salah besar aku, untuk percaya begitu.
Maaflah. Moga Tuhan senantiasa menjaga hati-hati kita. Senyumlah.