Tentang nikmat dan tanggungjawab

Sewaktu melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Terminal LCC tempoh hari, aku terdengar perbualan beberapa pegawai wanita yang bertugas. Dialek bahasa Kelantan, jadi sekilas dengar pun aku dapat tangkap isi cerita dengan mudah semasa aku mengambil beg galas yang baru selesai diimbas.

Seorang penumpang telah kehilangan beg atau barang beliau. Itu topiknya.

Berlalu dari situ, aku mula mencari tempat untuk melabuhkan punggung yang sakit kerana di luar sana tadi, aku cuma duduk beralaskan lantai di tepi pintu masuk bersama mereka yang kebanyakannya duduk di atas palang besi dan troli. Mata aku tertumpu pada dua orang pegawai lelaki yang sedang berbicara dengan seorang makcik.

Aku kira umurnya 50an. Dia kelihatan gelisah dan cuba melakar rupa sesuatu dengan kedua tangannya. Beberapa minit kemudian mereka berlalu dari situ. Pada hemat aku, makcik itu-lah yang dimaksudkan dalam perbincangan pegawai-pegawai wanita awalan tadi.

Aku tak tahu apa yang telah dilaksana-usahakan oleh para pegawai yang bertugas demi mendapatkan barang makcik itu walaupun memanglah barangan masing-masing tanggungjawab sendiri. Kalau segalanya tanggungjawab sendiri, apa guna ada pihak yang berkuasa. Hilang anak, kes pecah rumah sebagainya apa susah. Sudh tanggungjawab sendiri jaga anak dan barang sendiri-sediri.

Sepanjangan pemerhatian dan pengetahuan aku, tiada pencarian besaran berlaku di situ. Tiada rondaan pegawai untuk melihat setiap baris penumpang dengan barangan yang menunggu untuk berlepas walaupun bilangan pegawai yang ada menjaga di pemeriksaan pintu masuk sebentar tadi agak ramai.

Aku sedikit skeptikal di sini.

Setengah jam kemudian, aku nampak makcik tadi ke hulu ke hilir masih cuma dengan satu beg tergantung di bahu kirinya. Wajahnya risau berkerut lagi. Langkahnya perlahan. Tangan kiri kemas di beg di sisinya. Tangan kanan bergerak-gerak jarinya seperti cuba menggenggam sesuatu. Aku terkedu bila dia turut cuba mengintai ke dalam tong sampah yang berdekatan.

Deskripsi pemakaian makcik: Tudung sarung yang dikenali sebagai tudung Fareeda itu tak silap aku dipakainya dengan kerongsang berjuntai di sanggul belakang. Bajunya blouse molek dengan slack hitam lembut. Selipar berupa seperti Fit Flop. Dan beg yang dikepit gantung di bahu kiri itu, seimbas aku nampak Harrods tertulis padanya.

Apa yang makcik ini hilang sebenarnya sampaikan dia sebegitu luluh kelihatan ke sana ke mari? Dan dia keseorangan. Tanpa suami ataupun anak-anak. Aku tak jumpa pen kegemaran sekejap pun boleh meroyan, inikan pula barangan penting yang berkemungkinan berharga amat.

Makcik itu tidak merancang untuk dihilangkan barangnya tiba-tiba begitu. Dia tidak bersedia. Tak pernah terfikir terlintas pun dia akan berlaku hal sebegitu padanya. Tuhan itu mampu memberi dan menarik nikmatnya bila-bila masa bukan?

Tak semestinya berlaku baik sepanjang masa maka segalanya akan baik-baik sahaja kerna Tuhan itu akan menguji sesiapa sahaja yang Dia mahu. Ada juga yang dalam sesat akan tetapi Tuhan mencurahkan kekayaan dan kuasa di dunia padanya.

Seperti bila terkena tsunami. Seperti bila ditimpa tanah runtuh. Seperti terlibat dalam kemalangan.

Moga makcik itu beroleh apa yang patut dengan tenang. Moga kita bersedia. Hati-hati.

1 comment:

bukankosong said...

InsyaAllah

aminnn