Dulu aku selalu cakap, perkara paling dekat dengan hati ialah Tuhan. Tapi sekarang ni aku dah tak berapa tegas dengan diri. Hanyut. Tak mampu nak jawab macam tu. Aku pernah sebut. Perjalanan ke Tuhan itu bukan sesuatu yang mudah. Setiap huru-hara, kegilaan yang melanda kau, orang lain tak boleh faham. Takkan mampu. Benda-benda ringkas yang mungkin kau berasa perit, mungkin senang kacang untuk orang di sebelah. Atau benda-benda yang orang ambil ringan, kau pula ambil pusing sepenuh jiwa dan raga. Setiap kepentingan, setiap kegilaan, Tuhan memang sudah wujudkan kita berbeza. Untuk berada di paras pemahaman yang sama, untuk toleransi untuk sama setuju duduk di frekuensi yang sama, tak mudah. Tempoh waktu sekarang, aku sangat bersyukur bila punya kawan-kawan, atau ahli-ahli keluarga yang boleh tenggelam sama atau nampak apa sebenarnya yang aku sedang usahakan. Mungkin nampak macam tak berusaha langsung. Kadang-kadang, memang ya. Contoh beberapa bulan yang lalu. Tempoh depresi yang aku fikir lebih teruk dari tempoh aku berkabung jadi anak muda yang konon rebel waktu kematian mak. Atau mungkin aku cuma rasa ia lebih teruk kerana masih terasa baki-baki depresi tersebut. Atau kerana aku dah melepasi tempoh rebel anak muda tersebut tetapi belum sepenuhnya yang ini. Tapi tak semua nampak benda tu. Untuk yang nampak, diam dan berdoa untuk aku, terima kasih. Untuk yang peduli dengan cara tersendiri, terima kasih. Mungkin sebenarnya aku sudah kurang bersyukur. Mungkin juga aku memang sedia kurang bersyukur. Atau sebenarnya aku sedang diuji dan kemudian aku layankan kelemahan sendiri. Aku terlalu banyak kemahuan. Terlalu banyak permintaan. Aku terlalu mahukan sesuatu yang sempurna. Etika dan perkerti, sopan santun yang bagus. Aku takut untuk gagal. Aku kadang-kadang gerun untuk mencuba, terutama perkara-perkara yang merisaukan semua pihak. Contohnya jalan kehidupan aku. Bila dalam keadaan menakutkan seperti ini. Aku berasa susah. Susah untuk menginterpretasikan diri sendiri. Sama ada aku lebih perlu pentingkan permintaan sekeliling, atau kemahuan aku. Benda-benda seperti ini, berbalik kepada apa yang aku ulas tadi. Iaitu kepentingan, kegilaan serta pemahaman yang berbeza. Mungkin aku sebenarnya menarik diri dari maju dengan laju atas beberapa alasan yang aku fikir dan fahamkan sebagai munasabah, tetapi perkara ini tidak bagi sesetengah pihak. Walaupun pihak tersebut sebenarnya sangat menyayangi aku. Contoh, keluarga. Mungkin juga aku sebenarnya mengumpul alasan-alasan bodoh untuk tidak terus maju dengan laju kerana aku seorang penakut. Segala ini juga cuma kemungkinan, seperti tajuk entri yang tertulis. Aku cuma tak mahu Tuhan mula bermain dengan perkataan mungkin dengan aku. Untuk mati yang memang pasti nanti atau esok lusa, aku cuma mahu mati yang pasti dengan tangan masih berpimpinkan Tuhan. Maaflah untuk panjang lebar begini tanpa perenggan, tanpa rehat atau hembus nafas yang lembut di antara ayat-ayat ini kerana mungkin juga aku sudah malas untuk memuaskan diri manusia-manusia yang ada.
Termasuk aku.
4 comments:
ko apa cite beb? Lama dah aku terdetik nak tanya khabar. tapi dalam hati je lah sebab malas gila nak menaip... ha ha ha...
Hahaha. Aku tanya apa khabaaar? Baik yang.
Rileks la jongkook kakaka
Kah kah kah. Kat sini je aku bebel pun, bebel kat diri.
Post a Comment