Ketenangan aku dicabul. Aku hilang dalam sesak yang aku sendiri junamkan diri. Terlalu banyak hal sedang mempamer diri bersedia untuk dilayan menjadikan aku sedikit sukar untuk bernafas. Sikit masa lagi aku mahu senyum mengenangkan waktu yang sekarang ini.
Tahun ini agak pantas untuk aku. Kebanyakannya cuma berkisar jeritan yang sama. Masih bertemakan perkara yang dibawa dari tahun lepas. Cumanya kali ini sudah ada konklusi untuk aku telusur jalan kehidupan yang baru, daripada terus terumbang-ambing.
Bermalasan di rumah agam tingkat 5 untuk beberapa ketika tempoh hari memanusiakan aku. Desakan membaca bertubi-tubi, kopi yang nyaman, udara segar petang hari bila aku keluar berlari dan segalanya tentang tempat itu. Bandar Baru Bangi sebenarnya bagaikan Kota Bharu pada aku. Bezanya di situ ada keselesaan berseorangan yang takkan aku mampu tukar dengan apa-apa.
It keeps me alive.
Bulan lepas aku bertemu kelompok teman yang baru. Bukanlah baru kenal, cuma kelompok ini baru terbentuk dengan sendiri. Kami boleh bercakap, bergelak tawa dan ke sana ke mari tanpa banyak soal. Terima kasih teman-teman untuk masa yang telah wujud di waktu lepas. Harapnya hubungan ini kekal lagi untuk tempoh akan datang.
Ada kenalan yang aku rindu. Ada kenalan yang merindu aku. Aku tak pasti sama ada aku yang berganjak pergi atau apa yang tak kena. Aku tahu kedua kamu gadis manja selalu baca di sini. Aku mohon maaf sekiranya salah itu pada aku. Mungkin aku tenggelam dengan agak lama, jadi ambil masa untuk timbul semula. Moga boleh seperti biasa kembali.
Selaku manusia, kita sebenarnya gemar menyembunyikan rasa dan membiarkan hal itu cuma tergantung di situ. Berharap adanya telepati dan energi yang bergerak sendiri melalui medan waktu. Aku tak terkecuali kerana berfikir begini pun sudah beri aku degup pantas.
Kadangnya aku sendiri tak pasti apa rupa sebuah kerinduan. Adakah warnanya biru seperti laut ataupun sehijau warna daun? Adakah ia seharusnya memberi rasa yang membahagiakan? Kerna nyatanya setiap kali ia datang menjengah, yang aku rasa cuma pedih di hati.
Tuhan, jangan ambil nyawa aku lagi.
1 comment:
wow!
tingkat 5 tuh
Post a Comment