Biasanya hujung tahun akan meninggalkan aku cuma dalam keadaan paling melankolik, ataupun dalam keadaan paling gembira. Tapi kali ini ia sedikit berbeza.
Banyak benda berlaku. Kebanyakannya perkara yang membuahkan senyum. Jadi palit tahi atau tusukan duri yang busuk, menggigit beberapa kerat itu aku dahpun lepaskan pergi. Tak berbaloi untuk dikenang fikir.
Awal tahun itu hari aku buat permintaan untuk cuba memuaskan hati manusia-manusia yang aku sayang sebaik boleh, terutamanya keluarga. Aku yang dari kecil tak berapa pandai nak bermanja ini telah menyusun setiap satu rancangan untuk berada dekat, untuk ada di setiap panggilan, dan cuba selami hati seorang-seorang dari mereka.
Aku juga telah berjaya melaksanakan beberapa rancangan untuk kawan-kawan yang aku suka, kawan-kawan yang aku kasih.
Aku ini dikurnia minda yang bertindak hampir seperti seorang lelaki. Tetapi aku masih punya hati seorang perempuan. Waras aku kekal, emosi aku diganggu.
Kadang-kadang bila membesar, kita lupa yang kita dulu pernah kecil. Pernah dekat.
Kadang-kadang bila dah tinggi, kita lupa yang kita dulu pernah rendah. Pernah dekat.
Hidup ini masih selamanya tentang pilihan. Aku sudah dewasa dan punya beban untuk memilih.
Aku masih mencuba untuk menjadi yang paling baik di mata semua orang. Kerana dari mata, kau boleh baca hati manusia. Ini juga satu pilihan.
Kerana aku juga boleh memilih untuk tidak mengendahkan segalanya dan mementingkan diri.
Aku mohon untuk semua-nya selamat saja. Amin.
No comments:
Post a Comment