Dalam mencari alasan untuk meneruskan keterlangsungan hidup, aku banyak menggelamun membuang masa seorang diri.
Aku perlu berfikir dengan lebih serius akan capaian masa depan yang aku mahu. Nampaknya kali ini aku tewas dengan keadaan yang sedikit menghimpit. Manja rupanya. Aku terlalu lama dilayan dalam situasi yang damai, jadi bila datang ombak besar hampir saja meragut seluruh mampu aku.
Seumur hidup aku, aku tak pernah merasa sesak susah begini. Tak terbayang aku akan penderitaan yang dilalui orang-orang yang memerlukan, terhimpit dengan keadaan.
Untunglah bila dilayan teman-teman yang sudi, keluarga yang menyayangi. Mungkin tanpa sedar aku ini kurang menghargai apa yang ada di sekeliling. Sibuk mengejar perkara remeh, sampaikan terabai perkara yang penting.
Aku ditanya kakak petang semalam. Sama ada mahu cari kerja untuk jadi kaya, atau mahu cari kerja yang selesa. Aku cakap mahu yang biasa-biasa, asalkan gembira. Dia tanya lagi, tak mahu jadi kaya kah? Aku kata tak. Cuma mahu selesa. Persoalan ini mendorong aku untuk berfikir dengan lebih giat sampaikan aku rasa mahu tidur dan peluk mimpi saja. Kadangnya aku boleh jadi eskapis tanpa sedar.
Aku perlu mengasingkan diri dari berada terlalu lama dalam keadaan selesa seperti sekarang ini. Aku perlukan ruang untuk aku menaja imaginasi untuk bergerak lebih laju.
Aku perlu maju, untuk mereka yang lelah memikirkan tentang halatuju aku. Perkara paling perlu untuk aku lakukan sekarang ialah mengambil hati ayah. Ayah sudah tua.