Perubahan dan fasa-fasa berkaitan (atau tak)

Kadang-kadang kita paling mahu nak ke depan, tapi ada perkara-perkara yang akan menarik kita kembali ke belakang. Terlalu awal nak terbang pun bukan benda yang bagus kalau sayap kau pun baru sebelah. Setakat berjalan seret sikit-sikit tu boleh la. Lepastu berhenti dan rehat. Baiki apa patut. Cuba lagi lepastu.

Bila sayap dah ada di kiri dan kanan, belajar terbang baik-baik. Terbang pun bukan boleh sentiasa di atas. Kau kena pandang bawah juga. Tanda mana rumah asal kau. Nanti kalau dah jauh dan lama sangat terbang, tak pasal-pasal menjunam jatuh entah mana-mana bila dah penat. Ataupun kau hebat terbang lama, hinggap di tempat yang tersangat tinggi. Sunyi lah kalau sorang-sorang cuma.

Tahun ni aku 28 tahun. Hari ulang tahun kelahiran tinggal lagi 16 hari. Tahun lepas aku dalam tempoh depresi yang sangat tidak menarik. Bangun, tidur, bangun, tidur. Itu saja yang aku boleh layankan dalam tempoh waktu tu. Memang betul-betul layan je segala arus masa tu. Tak buat apa.

Kalau suruh tenggelam balik dalam rasa yang sama aku memang tak mahu.

Selaku manusia, kita bukannya langsung tak ada orang yang sudi mendengar. Cuma manusia-manusia pilihan yang kita percaya tu lama-lama berkurang dan pergi meninggalkan sini. Manusia ini ramai, tetapi yang kau pilih, yang kau percaya dan mahu cerita dengan itu bukannya ramai. Mereka-mereka ini seperti sebuah rumah untuk kau berteduh bila perlu. Apa kau rasa kalau tiada lagi tempat tinggal?

Atau kadang-kadang manusia tu ada je. Cuma dah tak sama.

No comments: