Dah 2014;

Setapak demi setapak. Langkah aku lemah. Aku rasa buat pertama kali sejak beberapa tahun aku tak sediakan entri ataupun draf cuma untuk pengakhiran tahun lepas dan menyambut tahun baru yang ini.

Kehidupan sedang mendatar. Hampir menjunam, tapi aku tahankan kuat tak mahu jatuh.

Terlalu banyak perkara yang berselirat di balik kelopak mata yang cuba melelapkan diri lewat malam-malam lepas, perkara-perkara yang menjadi angin sejuk ke hulu dan ke hilir, perkara ringan yang memberat, perkara berat yang diambil ringan, perkara-perkara tentang resah hati, juga perkara tentang mati yang mendekat.

Kalau dikumpulkan rajuk aku pada dunia, terlalu banyak untuk diambil peduli. Kalau nak bandingkan dengan kasih sayang Tuhan pula, tak terkumpul banyaknya.

Selaku manusia, selaku hamba kita ini sangat kerdil. Setiap detik dan ketika sekarang mampu buat aku menangis tak henti. 

Aku rindu manusia-manusia jauh. Aku rindu memori yang telah pergi. Aku rindukan rakan-rakan dan teman mesra yang setia untuk ada di setiap jatuh dan naik aku. Dan jarak tak pernah putuskan ikatan itu jadi terima kasih Tuhan.

Kadangnya fikiran suka terbang jauh. Jauh dan tak punya navigasi yang baik, boleh buatkan aku sesat terlupa tujuan asal penerbangan tadi.

Malam semalam aku lihat foto-foto di laman sosial kakak, gambar semasa keluarga menghantar aku di KLIA. Satunya dengan ayat, "Ayah pesan suruh adik bawa balik master, bukan monster".

Senyum.

3 comments:

~* chirpy_chummy *~ said...

(:

semoga ada jodoh untuk kita bertemu di tanah sana.

Pisey said...

InsyaAllah (:

Pisey said...

InsyaAllah (: