Jodoh itu kerja Tuhan

Cuti yang lalu, selaku anak gadis comel yang unik, aku menyorong basikal tua ayah dengan lemah gemalai ke halaman. Mengayuh keluar dengan penuh tatatertib sebelum mula melakukan aksi-aksi yang langsung tidak boleh dilakukan oleh kaum kurang profesional berbasikal. Kalau ada kanak-kanak berhingus melintas waktu itu, aku boleh cakap dengan lantang 'Jangan tiru aksi ini'.

Melalui kawasan perumahan yang dijanjikan keamanannya oleh kumpulan skim rondaan sukarela, aku menyanyi-nyanyi melodi hati. Burung-burung berkicauan di langit biru. Awan kebanyakannya berunsur warna putih bersih. Angin yang berlalu mengucup lembut pipi gadis comel. Pipi mula merona merah.

Senyum.

Sewaktu melalui lorong yang cuma berjarak 700m dari rumah, aku ternampak kelibat jiran yang waktu kecil dahulu ayah akan bawa aku melepak sama minum teh dari jam 6 petang sampai hampir azan maghrib. Pasangan guru yang berumur lingkungan beliau. Yang lelakinya sudah pencen manakala yang wanita masih mengajar anak-anak bangsa yang dahagakan pelajaran. Anak-anak bangsa inilah yang akan menjadi pemimpin suatu masa nanti.

Harapnya mereka pandai-pandai jaga diri. Bukan pesen membontot mengikut saja. Jangan sampai suap tahi makan tahi.

Setelah memastikan aura yang baik untuk aku mengambil tempat bersama dalam konversasi yang dibualkan, aku menendang tongkat basikal dengan penuh gaya. Tak pamer muka riak pun. Dipelawa duduk dan aku lebihkan telinga untuk aktif saja. Tenaga lain aku simpan untuk jalankan saraf-saraf untuk tindakbalas otak. Ada lagi seorang pakcik di situ. Rumahnya bertentangan dengan rumah pasangan guru tadi.

Tamat diskusi tentang bil letrik rumah mereka yang entah apa jadi sampai beribu-ribu cajnya, semua mata mula tertumpa pada si gadis comel yang tinggi santunnya. Oh, lupa dinyatakan. Pakcik itu bekerja dengan syarikat bekalan elektrik. Jadi beliau banyak membantu dalam urusan menyelesaikan masalah yang entah datang dari mana.

Berbalik tentang gadis comel, aunty tanyakan khabaran tentang keluarga, perihal adik-beradik, pelajaran dan buah hati. Semua aku jawab dengan penuh tertib susun kata. Ketiga-tiga mereka kemudiannya mencadangkan supaya aku mula mencari teman untuk dibuat pasangan hidup. Kata mereka, memanglah jodoh itu di tangan Tuhan. Tapi perlu ada usaha untuk mendapatkannya dari tangan Tuhan itu. Contohnya kalau Tuhan pegangkannya di tempat yang rendah, mudahlah kau ketemu. Kalau di tempat tinggi diletaknya, maka berliku-liku lah juga nak panjat dan usaha ke atas.

Aunty dan uncle bertemu waktu kursus perguruan. Waktu itu uncle sudah lama bekerjaya dan punya kereta. Aunty masih baru melangkah dalam bidang itu. Hari akhir kursus, uncle datang awal-awal lagi ke situ. Beliau mengeluarkan pen dan diari lalu menyuruh aunty menulis nama dan alamat. Bila ditanya untuk apa tujuannya, uncle jawab dia mahu ke rumah. Tamat kursus berminggu kemudian uncle pergi rumah aunty. Kemudian proses peminangan berlangsung.

Aku cuma senyum. Lebih manis senyum kali ini. Aku cakap kat uncle, 'Tu maknonyo buke keno gi amik tangey Tuhan. Tapi Tuhan tulung holor teruh ko tangey'. Sebab katanya memang waktu dia tengok aunty dan aunty tengok uncle masing-masing dah berkenan di hati.

Semua gelak terkekek-kekek.

Kedengaran bilal ketuk-ketuk mikrofon. Aku pun apa lagi terus minta diri penuh hormat dan mengayuh basikal penuh keayuan tuju rumah pak haji.

4 comments:

Unknown said...

layan kepala bila baca entri ini sehinggalah saat bilal main ketuk-ketuk mikrofon.

Pisey said...

jerry ghazali
Hahaha. Bilal tak main-main lah.

Anonymous said...

testing..testing 123..sronotnyer zamn waktu kiter jln trkedek2 atau hungga @ brlari ank mnuju ke surau yg makin comel d tmn perumahan yg masih mesra itu utk join terawih brjemaah d bln Ramadhan yg mulia..bes sungguh waktu itu..miss da old tyme..

-kakak yg sntiasa comel..

Pisey said...

hehe. gedik yer awak (; miss everyhing.