Pokok jejarum

Kawasan masjid tempat ayah dilantik sebagai bendahari zaman aku masih kanak-kanak riang dulu penuh dengan pokok jejarum. Sekarang aku tak tahu. Dah lama tak jejak situ. Aku pilih untuk ke masjid dalam taman bila berkesempatan dan berada di rumah waktu Ramadhan sejak masuk ke tingkatan satu sekolah berasrama.

Sebenarnya zaman darjah 5 dan darjah 6 lagi aku dah suka jejak ke masjid dalam taman tu. Sebabnya yang mengimamkan saf ialah seorang hafiz yang hensem. Tak tipu. Aku dan seorang kawan selalu stalk dia dan bersemangat tak tinggal tarawikh dan solat subuh berjemaah. Ah, ini topik lain.

Berkaitan tajuk yang tertera, setiap kali ikut ayah ke masjid besar, aku akan lebih teruja bila menu hidangan berbuka yang disediakan ialah lauk kegemaran. Awal sebelum maghrib lagi aku dah lepak di masjid dengan penuh tertib dan kesabaran tinggi. Sabar. Sabar tunggu kawan-kawan yang lain datang ke situ.

Usai makan kenyang dan solat maghrib, kain dah entah tercampak ke mana. Telekung di kepala je masih rapi pemakaiannya. Geng dah tunggu di luar pintu masuk saf wanita. Geng ada dari golongan lelaki, ada dari golongan perempuan. Kami main-main di telaga, conteng-conteng tanah dan sebagainya. Bila imam angkat takbir saja untuk solat isyak, aktiviti kami mula merancak.

Main sembunyi-sembunyi di balik tiang masjid sambil tutup mulut sebab bimbang terkeluar jeritan-jeritan yang tidak diingini apabila berlaku kejutan-kejutan yang tidak diingini. Sebenarnya lebih kepada menyembunyikan diri daripada pak-pak haji yang membuat rondaan sambil bawa rotan.

Aktiviti tahap maksima tercetus bila telekung di kepala dah tak tahu tercampak di mana. Selipar dah setting di tangan masing-masing. Beratur dalam barisan dan ambil jarak posisi masing-masing tuju kumpulan pokok jejarum di tanah. Satu-satu aku lompat. Ada yang kaki langgar daun sikit. Ada yang lompat jauh beberapa sentimeter dari bunga jejarum dan sebagainya. Ada juga ahli geng yang main terjah langgar tak sempat brek. Tak faham aku.

Seronok, seronok juga. Bila dah dengar bunyi dari jauh budak-budak lain lari pecut ala-ala waksenyambek tapi jenis kucar-kacir punya lari, aku pun apa lagi cipta rekod baru peribadi terus tuju tangga masjid. Selipar aku dah lambung awal-awal bawah tangga. Takkan nak kotorkan tangga masjid. Padahal tadi main kaki ayam je. Seret-seret sikit kat tikar depan pintu tak ada salah pun. Telekung yang tadi aku lambung entah ke mana pun tiba-tiba jumpa balik. Ajaib.

Aku lupa cakap. Antara pak-pak haji yang membuat rondaan sambil memegang rotan pusing-pusing kejar budak-budak nakal ialah ayah aku sendiri. Dia pegang nama pak haji paling garang yang rotan betul-betul kalau kau tertangkap depan mata. Dinding masjid tebal banyak lapis pun aku tahu tu memang aura dia dari jauh. Buktinya waktu aku masuk saf sambung solat tarawikh tu aku dengar budak-budak menjerit sayup-sayup. Yang pesen baru acah libas dinding terus nangis pun ada. Aku nampak je rilek. Jantung duk pam oksigen dalam darah laju kemain tak payah nak cakap.

Dalam lima beradik, aku je tak pernah kena libasan rotan ayah. Kalaulah dia tahu aktiviti yang ni. Tapi takkan nak pecah rekod dengan aktiviti remeh gini. Remeh tak remeh, kau orang ada?

No comments: